Dari kegagalan satu percintaan kualami
Penderitaan kesengsaraan kebatinan
Tapi di sebalik semua kepahitan tersembunyi
Oh keinsafan dan pengertian yang amat dalam
Pernah tak anda mendengar ungkapan di atas? Sebenarnya ini adalah lirik lagu "Anugerah Dari Kegagalan" dari Dato Shake. Jadi topik aku kali ini berkisar tentang kegagalan. Walaupun lirik lagu ini tentang kegagalan dalam percintaan tapi aku lebih berminat berbicara dalam konteks yang umum.
Pernahkan anda mengalami kegagalan dalam hidup? Berapa kalikah anda gagal? Apakah kesan dari kegagalan itu? Apakah langkah anda untuk mengelak dari terus gagal? Inilah persoalan yang selalu timbul. Tapi pernahkah anda terfikir hikmah di sebalik kegagalan itu..
- Kegagalan sebenarnya adalah guru dan pembimbing kepada kejayaan akan datang. Tidak semua perkara positif menjadi rangsangan terbaik untuk kita semua. Adakalanya sesuatu yang negatif seperti kisah kegagalan, kesusahan akan menjadi pendorong yang lebih baik untuk mengubah kehidupan kini agar lebih baik dari semalam.
- Kegagalan dapat melumpuhkan rasa ego dan takbur dalam diri. Kadang-kadang keyakinan yang melampau menyebabkan kita rasa ego bahawa kita akan berjaya sedangkan sekelip mata sahaja Allah boleh tukarkan kepada kegagalan jika Dia mahu.
- Kegagalan memberikan ruang agar kita merancang dengan lebih teliti. Biasalah sebagai manusia pasti ada juga yang terlepas pandang dalam perancangan yang kita lakukan. Tetapi dari pengalaman, ia pasti mengajar kita supaya lebih dalam teliti dalam merancang di masa hadapan.
- Gagal bererti anda berdepan dengan cabaran. Maknanya jika anda mampu melepasi ujian ini maka anda bakal menempah sebuah kejayaan. Cabaran adalah ibarat duri-duri yang anda pijak ketika berusaha mencapai apa yang anda kehendaki.
Hidup ini ibarat roda. Ada masa di atas ada masa di bawah. Setiap kejayaan yang kita capai mesti kita akan menempuh lalui kegagalan dahulu. Jadi jangan malu untuk gagal. Kita belajar dari kegagalan dan kesilapan kita. Kita tidak tahu bila kita akan berjaya tapi yang penting kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa mahu berubah..
Terbukti kegagalan bukanlah kehancuran
Dengan anugerah nikmat dan hikmat kehidupan
Aku pelajari mengenali diri dan siapa kita
Yang sebenarnya di bumi Tuhan
Adios~~~