Tahu anda apa itu CCRIS dan CTOS ?. Biasanya apabila permohonan pinjaman hartanah tidak di luluskan oleh pihak bank, ini adalah disebabkan oleh CCRIS dan CTOS. Pendek kata CCRIS dan CTOS ini adalah berkaitkan dengan rekod kewangan anda.
Secara amnya institusi kewangan di Malaysia melihat tahap kredit bakal peminjam melalui CCRIS (Central Credit Reference Information System) dan CTOS (Credit Tip Off Service) atau setaraf.
Apa itu Central Credit Reference Information System (CCRIS) ?
- Setiap institusi kewangan di Malaysia akan menghantar laporan bulanan kesemua peminjam mereka kepada Credit Bureau (Jabatan Kredit) di Bank Negara Malaysia. CCRIS adalah sistem pangkalan data berkomputer yang menyimpan maklumat yang telah dilaporkan oleh setiap institusi kewangan.
- Data pinjaman yang diterima dari institusi kewangan oleh Bank Negara akan diproses oleh CCRIS kepada format laporan kredit, dimana ianya boleh diakses oleh mana-mana institusi kewangan apabila diminta oleh mereka.
- Laporan CCRIS adalah tentang jumlah pinjaman, interest dan caj-caj tertunggak pada setiap pinjaman anda (perumahan, peribadi, kad kredit, sewa beli dan overdraft). Ia juga memberi gambaran jumlah setiap bayaran bulanan yang perlu di bayar semula oleh peminjam kepada pihak bank untuk satu tahun (12 bulan).
- Institusi kewangan selalunya akan menilai tahap kredit anda dengan menganalisa setiap pinjaman, baki pinjaman serta rekod bayaran pinjaman anda. Biasanya, institusi kewangan akan menolak permohonan anda sekiranya di dapati terdapat dua (2) bulan tertunggak untuk bayaran setiap pinjaman.
- Sesetengah institusi kewangan akan menolak permohonan pinjaman perumahan sekiranya Debt Service Ratio berada pada tahap 50% atau lebih, namun tidak semua institusi kewangan begitu.
Apa itu Credit Tip Off Service (CTOS)
- CTOS Sdn Bhd adalah organisasi yang mengumpul maklumat jika terdapat bankrupsi dan saman terhadap individu atau syarikat dan maklumat tersebut akan didaftarkan ke dalam pangkalan data elektronik mereka.
- Maklumat bankrupsi mengandungi maklumat terhadap orang perseorangan dan syarikat, yang sedang, atau sudah bebas dari bankrupsi. Laporannya mengandungi maklumat seperti no fail mahkamah, lokasi, tarikh notis atau arahan mahkamah, nama individu, no kad pengenalan, dan jika dalam perbicaraan, tarikh sebut kes di mahkamah.
- Maklumat saman pula selalunya mengandungi butiran terhadap individu dan syarikat dimana saman telah di keluarkan, no pemfailan mahkamah, lokasi pemfailan, tarikh notis atau arahan mahkamah, nama individu atau syarikat, jumlah saman (jika ada), no kad pengenalan individu atau syarikat (jika ada) dan tarikh sebut kes di mahkamah.
Adios~~~